Perlu Tunjuk MyKad Urusan Kirim Wang

. Minggu, 29 Desember 2013


KUALA LUMPUR – Orang ramai dikehendaki menunjukkan dokumen pengenalan diri jika mahu membuat sebarang urusan pengiriman dan pengurupan wang dengan peniaga perkhidmatan wang (pengurup wang dan pengirim wang) berlesen berkuatkuasa 15 September ini.

Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (PPPWM) dalam satu kenyataan media memberitahu, langkah itu bertujuan mematuhi Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

“Akta ini mengkehendaki peniaga berlesen mengenal pasti dan mengesahkan pelanggan dalam urusan perkhidmatan wang. Justeru PPPWM mengharapkan kerjasama para pelanggan berhubung dengan penguatkuasaan ini,” kata kenyataan itu semalam.

Kenyataan itu menjelaskan lebih lanjut para pelanggan dikehendaki menunjukkan dokumen pengenalan diri untuk urusan pengurupan wang bernilai RM3,000 ke atas dan untuk semua urusan pengiriman wang.

Tambah kenyataan itu, peniaga perkhidmatan wang akan membuat salinan dokumen pelanggan sebagai rekod transaksi jika urusan pengurupan wang melebihi RM10,000 dan urusan pengiriman wang yang melebihi RM3,000.

0 komentar: